Jumaat, 19 April 2013

Vitamin D Untuk Tumbesaran Sihat - Bahagian 1




Apa Pentingnya Vitamin D Bagi Kanak-Kanak???

Vitamin D merupakan salah satu vitamin yang penting dalam tumbesaran kanak-kanak. Vitamin D membantu tulang untuk tumbuh, membesar dengan baik dan memastikan tulang kanak-kanak dalam keadaan kuat. Lazimnya manusia mendapat sumber vitamin ini daripada cahaya matahari, begitu juga dengan kanak-kanak yang sedang membesar. Selain itu, Vitamin D juga boleh diperolehi daripada makanan sihat yang betul.

Vitamin D, salah satu vitamin larut lemak yang mempunyai sifat-sifat sebagai vitamin dan hormon. Ia diperlukan untuk penyerapan dan penggunaan kalsium serta phosphorus. Di samping itu juga, ia berperanan membantu tumbesaran terutama untuk tumbesaran tulang dan gigi yang normal pada kanak-kanak. Vitamin D yang cukup juga boleh mencegah otot daripada menjadi lemah, kanser kolon, osteoarthritis, osteoporosis, dan hypocalcemia. Pada masa yang sama mengatur denyutan jantung, meningkatkan imuniti yang penting untuk fungsi tiroid pembekuan darah yang normal.

Terdapat beberapa bentuk Vitamin D, termasuk Vitamin D2 (ergocaliciferol), yang datang dari sumber makanan; Vitamin D3 (cholecalciferol), yang disintesis dalam kulit kesan tindakbalas kepada dedahan cahaya ultraunggu matahari; dan dalam bentuk tiruan dikenali sebagai Vitamin D5. Daripada tiga bentuk Vitamin D tersebut, Vitamin D3 dianggap sebagai Vitamin D dalam bentuk semulajadi dan lebih aktif.

Kenapa Kanak-Kanak Memerlukan Vitamin D?

Kanak-kanak memerlukan Vitamin D bagi membantu tulang untuk tumbuh dan membesar. Vitamin D juga membantu kanak-kanak untuk menyerap kalsium yang diambil bagi keperluan badan mereka.

Kekurangan Vitamin D yang serius boleh menyebabkan Rickets (cacat tulang, terutamanya tulang belakang, kaki dan tengkorak; tulang mudah patah; bengkak sendi; dan lemah otot). Selain itu, kekurangan Vitamin D juga boleh menyebabkan penyakit-penyakit seperti osteoporosis, beberapa jenis barah, penyakit jantung dan juga kencing manis.



Selain kanak-kanak, bayi dalam kandungan juga memerlukan Vitamin D. Jika ibu yang mengandung tidak mendapat Vitamin D yang mencukupi ketika hamil, anak yang bakal dilahirkan mungkin akan mengalami neonatal hypocalcaemia (tidak cukup kalsium di dalam darah) atau akan mengalami Rickets ketika usia kanak-kanak mereka.

Tiada ulasan: